Suami Isteri perlu ada Ilmu....
Rumah tangga perlu dibina berasaskan kepada nilai-nilai
murni yang cukup sempurna kerana rumahtangga yang sempurna dan bahagia akan
mampu menjamin lahirnya suami, isteri, ibu bapa dan anak-anak yang berkualiti.
Untuk itu seharusnya suami isteri membuat persediaan secukupnya berkenaan ilmu
rumahtangga untuk diaplikasikan dalam kehidupan berkeluarga. Betapa tidak,
rata-rata ibu bapa tidak begitu serius dalam mengendalikan urusan rumah tangga
mereka. Cukuplah sekadar menyediakan
makan pakai serta menguruskan persekolahan anak-anak tanpa mementingkan
unsur kasih sayang dan merapatkan
hubungan antara kesemua ahli keluarga. Kesannya berlakulah kes perceraian yang
bukan sahaja melibatkan golongan muda bahkan yang sudah tua. Malah yang lebih
menyedihkan, kerosakan rumah tangga ini menyebabkan pelbagai isu serius timbul
seperti penderaan terhadap isteri, anak, sumbang mahram dan seumpamanya.
Mengawal Sikap
Kebijaksanaan suami isteri dalam mengendalikan rumah tangga
adalah aspek yang paling penting dalam menjaga kerukunan sebuah keluarga kerana
di antara unsur yang boleh mengganggu hubungan kasih sayang ialah kegagalan
pihak suami atau isteri dalam menjaga rahsia rumahtangga di mana banyak sekali
rumah tangga yang kucar-kacir disebabkan suami atau isteri yang bersikap suka
menjaja dan menyebarkan rahsia pasangannya kepada orang lain.
Hakikat Rahsia
Hakikat rahsia rumahtangga yang dimaksudkan sebenarnya
adalah terbahagi kepada beberapa bentuk yang perlu diketahui kedudukannya
seperti:
1. Rahsia khusus:
Rahsia-rahsia khusus adalah hal peribadi yang diminta secara
khusus oleh suami atau isteri kepada pasangannya supaya dirahsiakan. Iamam
al-Ghazali ada mencatatkan di dalam kitabnya Mukasyafatu al-Qulub tentang
beberapa tafsiran ulama mengenai perintah Allah kepada orang-orang mukmin
supaya menjaga dan di mana antara amanah itu ialah “satu perkataan atau ayat”
yang diamanahkan supaya dijaga dan dirahsiakan. Maka wajib menjaga amanah
tersebut. Begitu juga sesuatu yang dibisikkan kepada pasangan dengan permintaan
supaya ia menjadi rahsia antara mereka berdua, maka ia tergolong dalam amanah
yang wajib dijaga.
2. Rahsia Yang Menyentuh Keselamatan:
Mungkin ada orang yang memusuhi pasangan kita berniat jahat
dan hendak mengkhianati dan menganiayainya. Musuh itu mungkin menyamar dengan
meminta daripada kita segala maklumat, latar belakang dan sebagainya. Dalam
keadaan ini kita sebagai pasangannya harus cerdik dan bijaksana. Tersalah
memberi maklumat kepada musuh sesungguhnya akan mengundang bahaya kerana sejarah
ada mencatatkan tentang kisah isteri Sam’un al-Ghazi yang mendedahkan rahsia
kekuatan suaminya kepada pihak musuh hingga menyebabkan nyawa suaminya
terancam. Oleh itu janganlah terlalu jujur atau memberi segala maklumat
sehingga mendedahkan “rahsia” keselamatan pasangan. Seboleh mungkin cubalah
mengesan helah orang yang berniat jahat terhadap pasangan melalui tutur kata
atau perilaku mereka.
3. Rahsia Harta Benda:
Harta benda dan kewangan pasangan juga adalah rahsia yang
wajib dijaga dan dipertahankan oleh isteri. Dalam hal ini, isteri terutamanya
yang berfungsi sebagai pengurus rumah tangga tentulah orang yang paling
berperanan dalam menjaga rahsia rumah tangga yang dibina kerana Rasulullah SAW
sendiri pernah bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik isteri adalah yang dapat
menyenangkan hati suaminya apabila suami melihatnya dan apabila disuruh dia
menurut perintahmu, dan ia dapat menjaga kehormatan dirinya dan harta bendamu
ketika engkau tiada di rumah.” (at-Thabrani)
Dalam konteks ini, rumah tangga dan segala isinya adalah
dikatakan “harta” dan benteng rahsia keluarga. Adalah menjadi tanggungjawb
suami isteri menjaganya dengan sebaik-baiknya. Sehubungan itu, Islam melarang
keras orang yang mencuri-curi pandang ke
dalam rumah orang lain tanpa mendapatkan keizinan daripada tuan rumah. Sabda
Rasulullah s.a.w. : “Jika ada orang yang menjengok-jengok rumahmu tanpa izin,
lalu engkau melontarkan batu kepadanya sehingga pecah matanya, tidaklah engkau
berdosa.”(Bukhari dan Muslim)
4. Rahsia Bilik Tidur:
Inilah rahsia yang paling utama dan benteng terakhir rahsia
rumah tangga di mana rahsia yang berkaitan hubungan kelamin suami isteri ini
hendaklah disembunyikan dan hanya menjadi rahsia antara pasangan kerana adalah
haram dan berdosa hukumnya sekiranya salah seorang dari pasangan menghebahkan
hubungan mereka kepada pengetahuan, pendengaran dan penglihatan orang lain
meskipun anak-anak sendiri. Itulah sebabnya mengapa Islam mensyariatkan agar
dipisahkan tempat tidur anak-anak sejak mereka berusia tujuh tahun serta
mengajarkan kepada mereka supaya memberi salam dan meminta izin terlebih dahulu
sebelum masuk ke bilik ibu bapa mereka terutamanya pada tiga masa seperti yang
disebut di dalam al-Quran iaitu sebelum Subuh, sekitar waktu Zuhur dan selepas
Isyak kerana pada waktu waktu ini
kemungkinan suami isteri sedang bersama atau pun mereka sedang berehat,
bersantai atau tidur.
5. Rahsia Berhubung Soal Maruah:
Maruah melibatkan aurat, aib dan kelemahan seseorang. Firman
Allah S.W.T. yang maksudnya: “Adapun wanita wanita yang solehah itu ialah wanita-wanita yang
patuh (taat) dan memelihara kehormatan dirinya semasa ketiadaan suaminya
sebagaimana Allah telah memelihara mereka.” (An-Nisa: 34)
Dalam hal ini banyak perkara boleh berlaku sekiranya
pasangan gagal menjaga maruah dirinya seperti:
i. Isteri atau suami berlaku curang terhadap pasangannya.
ii. Pasangan mencari hiburan di luar rumah.
iii. Pasangan menduakan suami atau isteri.
iv. Pasangan menceritakan rahsia rumah tangganya kepada
orang lain.
6. Rahsia Berhubung Nafkah:
Dalam hal ini suami adalah wajib hukumnya untuk memberi
nafkah atau perbelanjaan untuk isteri dan anak-anaknya. Pemberian ini adalah
mengikut kemampuan, tidak sampai dilabelkan sebagai suami yang bakhil dan
kedekut atau pun suami yang terlalu boros dan bermewah-mewah. Pokok pangkalnya
seseorang itu wajib memberikan nafkah menurut kemampuannya. Oleh itu
permasalahan sara hidup hendaklah dibincangkan sebaiknya dengan pasangan agar
tidak menganiayai diri sendiri, isteri mahu pun anak-anak. Malah elakkan
daripada menjadi topik perbualan atau pun umpatan orang lain lantaran kegagalan
kita menyimpan rahsia tersebut.
Jika Sudah Terpaksa
Sikap saling memahami dan berlapang dada (sabar) adalah yang
paling utama mesti ada di dalam jiwa setiap individu yang menjadi suami atau
isteri. Tidak seharusnya mana-mana pihak, suami atau isteri bertindak meluahkan
perasaan dan menceritakan rahsia
pasangan kepada orang luar sebelum cuba menyelesaikan masalah itu dengan jalan
perbincangan melainkan tidak ditemui jalan penyelesaian lain sehingga rahsia
rumah tangga terpaksa diluahkan kepada pihak ketiga.
Contohnya sebagaimana peristiwa yang telah berlaku di zaman
Rasulullah SAW di mana seorang wania mengadu kepada baginda bahawa dia telah
dipukul oleh suaminya. Pada awalnya, Rasulullah memutuskan bahawa suaminya
boleh dikenakan qisas (pukul dibalas pukul), tetapi pada ketika itu juga telah
turun wahyu yang membolehkan suami memukul isterinya dalam keadaan tertentu
iaitu dengan tujuan mendidik (bukan memukul untuk menyakitkan atau memukul
kerana geram). Secara tidak langsung, wanita tadi telah membocorkan rahsia
rumah tangganya dengan menceritakan keburukan suaminya kepada pihak ketiga
iaitu Rasulullah s.a.w.
Maka dalam kes seumpama ini, tidak menjadi kesalahan bagi
isteri (atau suami) untuk membuka rahsia rumah tangganya kerana ia dibuat demi
kepentingan atau kebaikan rumah tangga itu sendiri. Iaitu apabila timbul
masalah dalam hubungan suami isteri yang tidak dapat diselesaikan melalui
perbincangan bersama, dan pihak suami atau isteri merasakan bahawa dia sudah
tidak mampu menghadapinya, maka satu jalan penyelesaian perlu diambil dengan
melibatkan ‘orang luar’, dengan kata lain, rahsia rumah tangga terpaksa dibuka
ke pengetahuan seseorang. Maka beberapa perkara harus diambil kira iaitu:
i) Merujuk Kepada Orang Yang Sesuai
Andainya sudah bulat tekad untuk membawa soal dalaman rumah
tangga kepada orang lain, maka haruslah dirujuk kepada orang yang tepat kerana bukan
sebarangan orang boleh menjadi tempat mengadu masalah apalagi jikalau ia
melibatkan perkara sulit. Maka pastikanlah bahawa orang yang diadu itu adalah
orang yang amanah, boleh dipercayai, memiliki sifat adil mudah dipengaruhi
emosi, tenang dan berwatak pendamai. Jika tidak, dia mungkin menjadi penghasut
dan pengusut masalah. Tidak kira sama ada ia merupakan teman rapat atau pun
seorang kaunselor yang berpengalaman, yang penting di boleh membantu dalam
memberi pandangan dan nasihat, atau menjadi orang tengah dalam membetulkan
hubungan dua hala antara suami isteri yang tergendala.
ii) Membuka Rahsia yang sesuai
Kita harus ingat bahawa orang yang diadu itu tetap merupakan
‘orang luar’ dalam konteks sesebuah rumah tangga. Oleh itu apa jua rahsia yang
mahu diceritakan kepadanya harus dibataskan kepada hal-hal yang berkaitan
dengan masalah yang dihadapi sahaja. Tidak lebih daripada itu. Jangankan
disebabkan pengaruh emosi, kita membuka segala rahsia pasangan.
iii) Merujuk kepada Hakam
“Hakam” adalah wakil daripada kedua-dua pihak suami dan
isteri di mana pihak lelaki diwakili seorang hakam, begitu juga dengan pihak
wanita. Adakalanya mahkamah sendiri yang akan melantik hakam tersebut di mana
kedua-dua hakam ini berfungsi sebagai pendamai untuk membantu menyelesaikan kes
yang dihadapi. Hal ini disebutkan
melalui firman Allah SWT yang maksudnya:
“Dan jika kamu khuatirkan ada persengketaan antara
kedua-duanya (suami isteri), maka kirimlah seorang hakam dari keluarga lelaki
dan seorang hakam dari keluarga perempuan.”
(An-Nisa’: 35)
Kedua-dua hakam ini akan melakukan ‘soal selidik’ ke atas
suami atau isteri dalam sesi berasingan, untuk mengetahui punca dan kedudukan
masalah. Di sinilah pentingnya peranan hakam yang dipilih itu yang mesti
memiliki sifat sebagai orang yang boleh dipercayai, bijaksana dan adil, boleh
menyimpan rahsia, bijak bertindak dan tidak menyebelahi mana-mana pihak. Dalam
hal ini, suami mahupun isteri harus memberi kepercayaan kepada hakam di mana
sedikit sebanyak rahsia rumah tangga mereka terpaksa diluahkan. Kemudian
kedua-dua hakam ini akan bertemu untuk mencari penyelesaian. Andainya didapati
tidak ada lagi titik temu antara kedua-dua suami isteri, kedua-dua hakam harus
sepakat untuk membuat keputusan memisahkan mereka dengan cara baik di mana ia
perlu dirujuk kepada mahkamah.
iv) Merujuk kepada mahkamah
Ini merupakan peringkat terakhir di mana jalan penyelesaian
melalui perbincangan dan melalui kaunselor atau orang tengah “hakam” tidak lagi
membuka sebarang harapan untuk perdamaian. Di sini mahkamah boleh membuat
keputusan ke atas masa depan rumah tangga tersebut di mana rahsia rumah tangga
terbabit terpaksa disingkap di hadapan hakim atau mahkamah.
Mengambil Iktibar:
Teladanilah kisah-kisah yang pernah berlaku di zaman
Rasulullah s.a.w. seperti kebijaksanaan saiditina Khadijah r.a. dalam menjaga
rahsia kerasulan Rasulullah iaitu selepas menerima wahyu pertama di Gua Hira’
di mana beliau telah bertindak bijak dengan menceritakan peristiwa itu hanya
kepada orang tertentu untuk mendapatkan pandangan dan tidak merujuk kepada
sebarangan orang tetapi memilih orang yang telah dikenal pasti layak menjadi
tempat rujuk dan boleh menyimpan rahsia. Orang itu adalah sepupunya sendiri,
Waraqah bin Naufal, seorang alim yang masih berpegang pada ajaran tauhid.
Rahsia ini disimpan kemas sehinggalah Rasulullah s.a.w. sendiri menerima
perintah untuk pergi ke tengah masyarakat menyampaikan amanah wahyu yang
diterimanya.
Kesimpulannya, biar apa pun masalah yang dihadapi
termasuklah hal rumah tangga, selaku seorang Islam hendaklah kita sentiasa
mengingati Allah dan memohon bantuan daripadanya. Kerjakanlah solat istikharah
dan solat hajat sebelum membuat apa jua keputusan agar diberi hidayah dan
kekuatan. Di samping itu ambillah iktibar daripada hitam putih kehidupan
masyarakat sekeliling kita. Bak kata pepatah “Yang baik, jadikan teladan, yang
buruk jadikan sempadan.”
Sumber rujukan:
HALAQAH
Comments
Jangan tulis status fb anda yg menceritakan kisah rumah tangga anda yg dilandai badai atau yg mengaibkan suami/ isteri anda.... ekekkekek