Umur yang paling buruk

KHUTBAH JUMAAT 27 RabiulAwal 1426 / 6 Mei 2005
Tajuk : Umur Yang Paling Buruk
OLEH: Ustaz Hj Mohd Zakuan Hj Tak


Saya berpesan kepada diri saya sendiri dan sidang jumaat yang dihormati, supaya sama sama kita mempertingkatkan ketaqwaan masing-masing kepada Allah SWT, yakni dengan mengerjakan segala suruhannya dan meninggalkan segala larangannya, Mudah-mudahan kehidupan kita yang sementara diatas dunia ini akan diberi keberkatan dan akan menikmati kebahgiaan hakiki yang abadi diakhirat nanti.Sidang jumaat yang dirahmati.

Menilik akan kejadian asal usul diri kita ini, bermula mendiami didalam perut ibu yang dipanggil Janin, bererti tersembunyi atau terlindung. Setelah dilahirkan kita digelar Bayi dan sesudah itu dipanggil kanak-kanak pula, dan apabila umur telah baliqh kita dipanggil pula belia atau remaja. Kemudian hingga sampai umur 30 tahun dipanggil pula KAHLU / Pertengah umur dan sesudah mencapai 40 tahun kita dipanggil SHEIKH yakni orang yang telah matang. Rasulullah SAW diangkat menjadi Rasul pada ketika baginda berumur 40 tahun.Sidang jumaat yang dihormati,Kembali memperkatakan tentang kejadian manusia itu, maka Allah telah menjadikan kita sebagai manusia ini akan melalui beberapa laluan dan perkembangan dan kemudiannya, Allah SWT akan mematikan kita pula. Ada diantara kita yang pendek umurnya, dan ada yang panjang umur hingga kepada tua yang nyanyuk. Namun demikan, Allah juga telah memperuntukkan rezeki masing-masing, Ada yang mewah dan kaya raya, ada yang sederhana, dan tidak kurang yang papa kedana sepanjang hayat. Maka yang dikurniakan kemewahan seharusnya membelanjakan hartanya kejalan yang diredoi Allah, manakala yang kais makan pagi, kais petang makan petang, perlu redzo dan sabar dengan ketentuan dari Allah itu. Sepertimana firmannya didalam surah An-Nahlu a:70 :

"Dan Allah telah menjadikan kamu, kemudian mematikan kamu, ada diantara kamu yang disampaikan umur yang paling buruk, sehingga tidak diketahuinya lagi sesuatu yang dahulunya sudah diketahui. Sesungguhnya Allah maha mengetahui lagi maha berkuasa "Pengertian ayat ini bermaksud bahawa Allah berkuasa menjadikan manusia itu daipada tidak ada kepada ada, kemudian dimatikannya apabila sampai ajalnya, samada dimatikan ketika kanak-kanak, atau ketika muda belia, atau boleh dimatikan ketika setelah umur tua bangka dan nyayuk.Sidang jumaat yang berbahagia:Ketahuilah saudara saudaraku sekalian, bahawa setiap manusia itu akan mengalami empat (4) peringkat laluan jika umur kematiannya mencecah kepada 63 tahun.
Pertama : Peringkat umur kanak-kanak hingga berumur 33 tahun. Diperingkat inilah dipanggil alam persekolahan, dimana kita diwajibkan menuntut ilmu, baik ilmu dunia atau ilmu akhirat dengan sebanyak-banyaknya, bertujuan bagi mencari kehidupan yang sempurna diatas dunia ini dan juga mencari kebahgiaan diakhirat, kerana diperingkat umur ini, ingatan sesaorang itu sangat kuat dan bertenaga untuk menghafal dan mengingati pembelajaran.Kedua : Peringkat umur dimana perkembangan pembesaran manusia mulai berhenti. Ianya dipanggil Sinnul-Wuquf iaitu umur dari 33 tahun hingga sampai 40 tahun. Diwaktu ini lah kita mempunyai kekuatan tenaga yang luar biasa, cerdas fikiran dan kuat tubuh badan. Diwaktu ini kita digalakkan untuk mencari kekayaan dunia tetapi tidak melupakan akhirat. Sepertimana maksud sebuah hadis Rasulullah yang bermaksud : "Bekerjalah kamu seolah kamu akan hidup 1000 tahun lagi, dan beribadahlah kamu seolah olah kamu akan mati pada esok hari" Tetapi pada waktu umur sebeginilah iman kita akan diuji, Jika mempunyai ilmu agama yang tinggi serta iman yang kuat, maka manusia itu akan berjaya melepasi dugaan umur ini, tetapi jika kita lemah iman dan mengikut kata telunjuk syaitan dan iblis, maka kita akan rebah tersungkur dipangkuan syaitan dan akan sentiasa bergelumang dengan noda dan dosa. Diwaktu ini kita lupa nasihat ibu bapa, lupa pengajaran dari guru, lupa pada kematian, dan lupa hari pembalasan diakhirat nanti. Waktu ini Mujur lalu melintang patah, Arak diminum seperti menunggang air sejuk. Perempuan tidak bermoral dijadikan teman untuk ditiduri. Permainan judi menjadi amalan sebati. Sembahyang lima waktu kita jauhi. Masjid dan Surau tidak kita kunjungi. Oleh kerana peringkat umur ini telah kita tempuhi, maka tuan-tuan yang berada disini perlu mengawasi anak-anak kita yang sedang melalui umur ini, supaya diawasi, dinasihati dan dimarahi, walaupun mereka itu sudah berumah tangga sekali pun, kerana diwaktu ini banyak kisah benar boleh diteladani. Banyak yang terlibat dengan najis dadah, terlibat dengan budaya samseng, Gila disco, Gila judi, Gila Perempuan dan gila menerima rasuah yang mana perbubatan keji ini seumpama ini, akan memusnahkan kehidupan masa depan mereka dan cucu cicit kita.
Manakala peringkat umur ketiga pula dipanggil Sinnul Kuhullah iaitu dari umur 40 han hingga sampai 60 tahun. Pada peringkat ini keadaan fizikal kita mula menurun dengan perlahan secara tidak kelihatan dan amat perlahan. Seperti penglihatan mata kita telah mulai kabur, pendengaran telinga kurang ketara, kulit mulai berkedut dan kendur, gigi mulai longgar dan adakalanya jatuh gugur, rambut dikepala dulunya hitam pekat, sekarang bertukar botak berkilat, misai janggut berselang warna antara hitam dan puteh beruban, Diwaktu inilah kita digalakkan supaya meningkatkan amalan ibadah, untuk kebahagiaan diakhirat. Bertaubat serta menyesal atas perbuatan terlanjur yang telah kita lakukan pada waktu tengah muda dahulu. Orang yang masih hidup pada umur ini bererti Allah amat kasih kepadanya kerana memberi ruang dan peluang untuk kita bertaubat, serta berkesempatan menambahkan amalan lagi. Rasulullah ketika umur sebegini, bersembahyang hingga bengkak-bengkak kaki, kerana bersyukur atas nikmat Allah yang dikecapi, Tetapi setelah kita diberi peluang hidup hingga umur sebegini, Kita masih tidak mengerti, Kerja tidak berfaedah yang kita lakui, Boleh bangun 2/3 pagi hanya untuk tengok liga bolasepak luar negeri tetapi sayang jemaah subuh tidak kita sertai.

Hadirin sekalian,Peringkat kempat pula dinamakan umur orang tua iaitu, dari 60 tahun keatas. Pada umur sebegini badan telah lemah dan tidak berseri, sakit yang tidak diundang akan datang bertubi-tubi, Penyakit lemah jantung yang ditanggungi, datang pula kencing manis dan dituruti pula dengan darah tinggi. Selera makan juga sudah berubah, dulu makan nasi empat kali tambah, sekarang menghabiskan sekeping roti terasa mengah dan lelah. Nah sekarang baru kita tahu bahawa segala kekuatan, kecantikan dan kehebatan telah ditarik Allah. Dulu badan berketul, kuat, tak lut parang dan peluru senapang, sekarang tolak satu jari jatuh terlentang. Ini adalah fitrah alam, ada pangkalnya pasti ada hujungnya, Kehidupan dan kematian.Sidang jumaat yang dikasihi.Tetapi apa yang lebih malang lagi ialah diwaktu umur tua bangka sebegini, ada diantara kita nanti yang akan dinyayukkan oleh Allah. Lihat datuk nenek kita yang mencapai umur ke tahap ini. Kelakuan mereka seperti kanak-kanak. Pelupa dan suka bertanya berkali kali, membuang air kecil dan besar merata-rata dan sesuka hati, dan suka membuang kain yang dipakai umpama kanak berbogel ketika berumur 3 tahun. Kelakuan nyayuk ini adalah merupakan ujian kesabaran kepada anak-anak yang memelihara mereka. Bak kata Pepatah Melayu "Rumah kata pergi, kubur kata mari". Memelihara ibubapa seperti ini membuatkan kita terlalu banyak berdosa kerana tidak sabar dengan kerenah mereka. Mana orang tua yang bernasib baik akan dijaga dibelai dengan penuh kasih mesra oleh anak anak kita. Dimandi dan dibedaki, Yang tidak bernasib baik mereka mereka ini tidak akan dipeduli, berak kencing merata-rata hingga bau badan hancing dan busuk sekali. Oleh itu bermohon kepada Allah supaya jangan akhir hidup kita ini disengsarakan sebegini.Kata Ibnu Abas, hal-hal seperti ini tidak akan ditujukan kepada kaum muslimin muslimat yang beriman, kerana orang Islam yang beriman semakin ditambah umurnya, semakin mendapat kemuliaan disisi Allah.Barang siapa yang membaca al-quraun sepanjang hidupnya, ianya tidak akan disampaikan kepada umur yang paling buruk (adrzalil Umuri) sehingga dia nanti tidak mengetahui lagi sesuatu yang dahulunya diketahui, Yakni mereka yang dikecualikan dari dikembalikannya ketempat yang paling rendah. (Asfala safilin) ialah orang orang yang beriman dan beramal soleh. Mereka itu ialah orang-orang yang membaca Al-quran. Rasulullah mengajar umat selalu berdoa:"Ya Allah kami berlindung kepadamu daripada bersifat kedekut dan pemalas dan berlindung dari umur yang paling buruk dan dari siksa kubur, angkara fitnah semasa hidup dan mati."Oleh itu, semasa umur masih muda, mampu dan masih kuat, maka berlumba-lumbalah didalam mengerjakan ibadah. Penuhi aktiviti harian kita dengan melengkapkan sembahyang lima waktu, perbanyakkan sembahyang sunat, puasa sunat, bersedekah, membaca al-quran dan berzikir kepada Allah, kerana jika umur kita dipanjangkan Allah hingga kepada tua bangka dan nyayuk, nescaya Allah akan mengira ketika nyayuk itu sebagai sedang beribadah juga, kerana sudah tentu jika kita sihat dan tidak nyanyuk sudah pasti kita akan terus beribadah, Tetapi sebaliknya jika semasa muda kita, kita habiskan waktu dengan melalaikan perintah sembahyang, mengerjakan perbuatan maksiat dan dosa maka apabila kita dinyanyukkan maka Allah akan menghitung kita berada didalam maksiat juga, kerana kalau kita tidak dinyanyukan maka sudah pasti perkara kejahatan juga yang kita akan lakukan.Semuga khutbah pendek hari ini dapat mengisafi diri kita dan diri saya juga bahawa dunia ini adalah pinjam pinjaman, maka akhirat juga tempat kekal yang abadi.

KHUTBAH KE 2
Insaf

Saya berpesan kepada diri saya sendiri dan sidang jumaat yang dihormati, supaya takutilah akan Allah dengan sebenar benar takut. Ambillah sebanyak mana bekalan didunia ini, sementara nafas masih menyedut. Dan sebaik baik bekalan itu ialah taqwa kepada Allah. Iaitu mengerjakan segala perintahnya dan meninggalkan segala larangannya. Kerana jasad dan rohmu tidak akan mampu menahan kesakitan bakaran api neraka yang azabnya tidak terperi. Dan ketahuilah oleh kamu, bahawa kamu tidak boleh lari dari MATI, dan yang beserta jasad kamu dialam kuburyang sempit nanti hanyalah amalan kamu. Jika baik amalan kamu ketika didunia maka nikmat dan bahagia dibalas tuhan, tetapi jika jahat amalan kamu, balasannya adalah siksa dan azab yang amat menyakitkan.Saudara saudara seagama yang dimuliakan.Renungilah, insaflah dan teleklah diri kamu baik-baik. Adakah amalan kamu sepanjang hidup yang lalu, merupakan amalan yang baik dan diredzoi Tuan, ataupun amalan mungkar yang menjadi kemurkaan tuan.Sedarlah, bahawa sekalian kerjabuat kamu diatas dunia dahulu, akan dihisab sekali lagi dihari Pembalasan. Baik sepatah perkataan yang dikeluarkan, maupun seinci perbuatan yang dilakukan, ianya akan diperiksa, diteliti, satu demi satu dihadapan Tuhan. Dan balasan yang adil serta setimpal akan diberi Tuhan. Hari itu kamu akan menyesal bersangatan, oleh kerana malas dan segan mengerjakan ketaatan. Hari yang tidak ada guna penyesalan. Hari yang tidak memberi manfaat, walaupun kita didunia, jutawan terbilang, walaupun berpangkat dan mempunyai gelaran, Waktu kedahsyatan matahari tegak dikepala hanya sejengkal Waktu itu anak isteri yang kita kasihi akan bertemperian lari membawa untung diri, nafsi nafsi. Yang diperlukan hari itu hanyalah amalan soleh ketika didunia.

Comments

Popular posts from this blog

Rahsia Pantang Mommy Adam

Allah mencatur rezeki kita….

Syurga Makanan di Kuala Terengganu