Anak-anak kita golongan mana?

Zon masa berbeza bagi generasi Z (petikan from utusan)

ADA masa anak-anak bercuti, daripada universiti, dan yang telah bekerja, teringin juga si bapa ini hendak bersarapan pagi bersama. Lebih-lebih lagi sekarang menjelang bulan puasa.
Setelah bersiap-siap jam 8.00 pagi, jenguklah si bapa ini ke bilik anak-anaknya untuk mengajak bersarapan di luar.

Apa yang dilihat ialah tiga tubuh anak muda yang sihat dan perkasa sedang tidur lena. Usaha untuk mengejutkan mereka tidak pernah berjaya. Setiap pagi kalau mereka bercuti jangan harap dapat minum bersama. Pagi itu waktu tidur mereka.

Hendak berleter pun tak guna, keadaan begini sudah lama berlaku, lebih-lebih lagi sejak munculnya komputer dan Internet. Anak-anak ini pula membesar dengan benda-benda itu. Mereka generasi yang sedar-sedar sudah mengenal adanya komputer.

Yang sulung ialah generasi X, lahir sekitar tahun awal 80-an, membesar dengan adanya komputer peribadi. Kecil-kecil dahulu taip atas Wordstar, skrin monokrom dan permainan pun hanyalah digdug.
Anak kedua ialah generasi Y, lahir sekitar lewat 80-an. Dia membesar ketika sudah muncul Internet. Skrin komputer yang digunakan sudah berwarna. tentunya pakai Microsoft. Permainan yang diminati Sim City, Warcraft dan kemudian bola sepak, lumba kereta serta macam-macam lagi.

Sementara anak ketiga pula lahir sekitar awal 90-an. Ada pihak beranggapan mereka ini generasi Y lewat. Ini kerana generasi Z diletakkan pada golongan yang lahir pada alaf baru. Tetapi apa yang pasti golongan lahir ketika itu sudah ada Internet jalur lebar dan wi-fi. Mereka ada playstation dan i-pod.
Jadi antara ketiga-tiga ini, yang generasi X tu akan bangun lebih awal, pukul 10 pagi. Yang generasi Y bangun pukul 11 pagi. Yang generasi Z bangun pukul 12 tengah hari. Jadi kalau hendak makan bersama mereka si bapa ini perlu makan tengah hari dengan mereka. Tapi bagi mereka, makan tengah hari itu adalah sarapan pagi.

Itulah zon masa baru bagi generasi ini. Jadi apabila si bapa minum petang, mereka makan tengah hari. Ketika si bapa makan malam, mereka minum petang. Bila bapa sudah hendak tidur, mereka masih berjaga, dan masa itulah mahu keluar untuk makan malam.

Tidak hairanlah pada zaman ini, kedai-kedai teh tarik dapat dibuka sampai larut malam. Begitu juga dengan kedai minum mewah seperti Starbuck. Ditambah pula rangkaian kedai serbaneka, seperti 7-Eleven, serta juga restoran makanan segera seperti KFC dan McDonald's adalah kesemuanya untuk menampung keperluan generasi-generasi X, Y dan Z yang tidur lewat.
kemudahan

Ini kerana selepas tengah malam, mereka lebih rancak duduk di depan komputer, khususnya laptop dengan jalur lebar dan wi-fi. Ibu bapa pun sudah lebih berkemampuan untuk memberikan mereka kemudahan teknologi maklumat.

Apabila sudah memasuki dunia siber, otak bertindak secara berlainan. Mereka mampu berjaga sehingga larut malam. Tetapi tubuh mereka tetap manusia yang masih berada dalam struktur pertanian dan perburuan.
Dengan tidur pukul 3 dan 4 pagi, adalah mustahil bagi mereka untuk bangun pukul 6 atau 7. Pada mulanya si bapa memikirkan ini masalah anak-anaknya saja. Tetapi apabila bertanya dengan bapa-bapa lain, mereka turut mengeluh betapa anak-anak mereka liat bangun.

Tetapi hakikatnya bukan saja di Malaysia tetapi di seluruh dunia. Zon masa bagi generasi X, Y dan Z ini berbeza dengan bapa-bapa mereka yang lahir pada tahun 60-an. Generasi lahir tahun 60-an membesar dengan mesin taip dan melihat transisi kepada komputer, satu persatu. Mereka inilah juga dikenali sebagai penghijrah siber. Mereka tidak membesar dengan komputer, tetapi berhijrah daripada perkakasan mekanikal kepada digital.

Tidak seperti anak-anaknya. Generasi X, Y, Z adalah semua sememangnya pemastautin siber.
Mungkin si bapa teringat semasa kecilnya dahulu apabila dapat makan bersama setelah bersembahyang jemaah. Ketika makan, datanglah nasihat dan pengajaran daripada bapa mengenai hidup dan pengalaman untuk diturunkan sebagai tunjuk ajar.

Tetapi kepada generasi X, Y dan Z, bagaimanakah bapa-bapanya hendak mengajar mereka? Ketika memanggil mereka pun untuk makan bersama umpamanya, mereka tidak akan dengar. Kecuali si bapa atau si ibu menghampiri mereka dan tarik alat pendengar yang disangkut pada telinga mereka. barulah mereka tersentak dan bertanyakan, apakah yang dikehendaki bapanya.

Cara fikir dan pengenalan mengenai kehidupan sudah tidak diperolehi daripada bapa. Semuanya datang daripada Internet, Wikipedia, facebook, blog dan segalanya mencorakkan pemikiran mereka.
Para bapa tidak boleh menghalang perubahan mereka. Ini dunia mereka. Apa yang boleh dilakukan oleh para bapa hanyalah untuk turut serta ke dalam dunia mereka, memasuki segala rangkaian yang ada pada anak mereka, cuba berkomunikasi dengan mereka, dan membimbing agar perubahan ini dapat diuruskan dengan baik. Tidaklah memudaratkan kepada anak-anak ini.

Tentunya para bapa tidak mahu kehilangan anak kepada dunia siber dengan terpupusnya jati diri agama, bangsa dan negara.

Sesungguhnya generasi yang memberi mereka kecanggihan teknologi maklumat ini adalah datang daripada mereka yang lahir lewat tahun-tahun 50-an dan awal 60-an. Generasi Bill Gates dan Steve Jobs.
Di Malaysia generasi lepas Perang Dunia Kedua dan lepas merdeka yang menyumbang kepada kejayaan negara memasuki era IT. Komputer, Internet, jalur lebar, wi-fi adalah pemberiaan generasi baby boomers kepada generasi X, Y dan Z.

Jika generasi ini hanyut, salahkan diri sendiri.


Comments

Popular posts from this blog

Rahsia Pantang Mommy Adam

Allah mencatur rezeki kita….

Syurga Makanan di Kuala Terengganu